BAKSUS adalah sebuah badan iaitu ‘Badan Kebajikan, Sukan dan Sosial’ bagi Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Badan ini telah ditubuhkan pada tahun 1986 dan setiap staf Bahagian Pengurusan Maklumat secara automatik menjadi ahli badan ini.

Pengikut

24.10.09

Pemantun KPM Mencatat Sejarah Sekali Lagi

Pada 23 Oktober 2009 (Khamis), bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj, Pasukan Pemantun Kemeneterian Pelajaran Malaysia sekali lagi melakarkan sejarah kejuaraan kali ke-4 berturut-turut. Walaupun format pertandingan telah ditukar daripada liga kepada 4 Penjuru ternyata pasukan KPM yang diwakili oleh dua orang pegawai Bahagian Pengurusan Maklumat, sedikit pun tidak tergugat. Cik Siti Zaileha A. Salam dari Unit Pengurusan Teknikal dan Puan Siti Norliayana Markuni telah berjaya menggalas tugas berat bagi mengekalkan kejuaraan.

Dianjurkan bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pertandingan Pantun antara Kementerian 2009 telah menemukan 4 pasukan yang terdiri daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selaku Naib Johan, Jabatan Perdana Menteri di tempat ketiga, manakala Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di tempat keempat.

Hadiah telah disampaikan oleh Y.Bhg. Dato' Haji Ahmad Phesal Bin Haji Talib, Ketua Setiausaha, Kementerian Wilayah Persekutuan diiringi oleh Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Perbadanan Putrajaya. Johan telah menerima wang tunai RM2000, hadiah iringan beserta sijil sumbangan penganjur iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Manakala Naib Johan menerima wang tunai RM1500, hadiah iringan beserta sijil, tempat ketiga menerima wang tunai RM1000, hadiah iringan beserta sijil dan tempat keempat menerima wang tunai RM500, hadiah iringan beserta sijil.

KPM turut menerima kemenangan berganda apabila Siti Norliayana Markuni telah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik dan menerima wang tunai RM500. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada KPM semoga dapat melahirkan generasi pelapis yang bakal meneruskan perjuangan mengekalkan kejuaraan pada masa akan datang.

Jikalau daun tidak dihiris
Letaklah pandan di dalam talam
Jikalau pantun tidak diwaris
Lenyaplah warisan gelaran kelam

Rotan berbilah sudah diberi
Taruhlah dinda raut di peran
Kekanda sudah letih berperi
Ayuhlah dinda sahut cabaran

No comments:

Post a Comment