BAKSUS adalah sebuah badan iaitu ‘Badan Kebajikan, Sukan dan Sosial’ bagi Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Badan ini telah ditubuhkan pada tahun 1986 dan setiap staf Bahagian Pengurusan Maklumat secara automatik menjadi ahli badan ini.

Pengikut

2.2.10

Hari wilayah persekutuan - 1 Februari

Tanggal 1 Februari 2010 adalah hari Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan adalah gabungan 3 wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berusia 36 tahun, Wilayah Persekutuan Labuan, 26 tahun dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berusia 9 tahun pada tahun 2010. Sambutan Hari Wilayah Persekutuan merupakan acara rasmi tahunan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Tahun ini merupakan kali keenam acara ini disambut secara bersama dengan menggabungkan ketiga-tiga Wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bendera Kuala Lumpur

Bendera Putrajaya

Bendera Labuan

Kuala Lumpur telah ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, seterusnya menjadi ibu negara Malaysia. Pada 16 April 1984, Labuan yang dahulunya sebahagian daripada pentadbiran Sabah dibawa masuk kedalam Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Labuan. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya pula ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga dan diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya. Putrajaya kemudiannya menjadi pusat pentadbiran yang baru bagi Malaysia.

Pada tahun ini Majlis Pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2010 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sambutan pada tahun ini agak istimewa kerana majlis pelancarannya akan dirasmikan serentak oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Tema sambutan yang dipilih pada tahun ini ialah “1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera”. Pemilihan tema ini sejajar dengan usaha mengukuhkan peranan dan sumbangan Wilayah Persekutuan terhadap kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan gagasan konsep 1Malaysia iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Walaupun pelancaran sambutan pada kali ini akan dilaksanakan secara sederhana, ianya dijangka akan lebih meriah kerana melibatkan penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa dalam bentuk perhimpunan rakyat 1Malaysia.Selain dari itu, sambutan kali ini juga akan diceriakan dengan pelbagai acara yang semestinya menarik dan menghiburkan seperti konsert artis tempatan, persembahan kebudayaan dan petunjukan bunga api.Yang pasti sambutan kali ini tetap meriah.

No comments:

Post a Comment