BAKSUS adalah sebuah badan iaitu ‘Badan Kebajikan, Sukan dan Sosial’ bagi Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Badan ini telah ditubuhkan pada tahun 1986 dan setiap staf Bahagian Pengurusan Maklumat secara automatik menjadi ahli badan ini.

Pengikut

17.9.09

Had laju dikurangkan pada musim perayaan

Utusan Malaysia, Dalam Negeri, 17 September 2009 / 27 Ramadan 1430H

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Langkah kerajaan mengurangkan had laju kebangsaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan, khususnya sepanjang Ops Sikap Ke-20 yang kini sedang diadakan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh memberitahu, pihaknya telah memasang papan tanda peringatan had kelajuan baru bagi jalan persekutuan daripada 90 kilometer sejam (kmj) kepada 80 kmj manakala di lebuh raya daripada 110 kmj kepada 100 kmj.

Menurut beliau, penurunan kadar had laju itu merupakan salah satu langkah yang diambil bagi mengatasi masalah kemalangan setiap kali menjelang musim perayaan.

''Sebanyak 60 hingga 70 peratus punca kemalangan disebabkan kelajuan. Jika pemandu dapat mengurangkan kelajuan, maka risiko terlibat dalam kemalangan juga akan berkurangan.

''Pihak berkuasa telah menjalankan pemantauan berterusan di jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan negeri bagi memastikan para pengguna jalan raya menggunakan kelajuan rendah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Had laju kebangsaan itu berkuatkuasa sejak Ahad lalu hingga 27 September ini bertujuan mengurangkan kemalangan pada musim perayaan.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof ketika dihubungi berkata, pelaksanaan peraturan had laju itu sangat sesuai dilaksanakan terutamanya ketika musim perayaan.

''Langkah ini dapat menggalakkan orang lebih berhati-hati serta tidak terburu-buru sehingga mengakibatkan kemalangan. Kelajuan merupakan penyebab utama kemalangan.
''Peraturan seperti ini amat digalakkan dan seharusnya dikuat kuasakan setiap kali musim perayaan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment